Friday, 2 September 2016

Pelajar baharu UMS diingatkan patuhi akta dan peraturan.

2nd September, 2016

oleh Marryan Razan (marryan@newsabahtimes.com.my)

KOTA KINABALU: Pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan supaya mematuhi akta, perlembagaan, peraturan dan tatatertib yang dikuatkuasakan di universiti itu.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata ia bukan bertujuan menyekat kebebasan tetapi untuk membentuk para pelajar supaya berdisiplin, di samping tidak mendatangkan masalah terhadap mana-mana pihak.

“Elakkan diri daripada mengikuti sebarang bentuk aktiviti yang mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat dan negara. Jangan mudah terpengaruh atau terikut-ikut anasir luar yang belum tentu agendanya.

“Semua ini hanya akan merosakkan masa depan anda kerana kegiatan seperti ini menyebabkan pelajaran terabai dan hilang fokus untuk belajar.

“Saya ingin tegaskan bahawa, pihak university tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melanggar peraturan dan disiplin,” katanya ketika berucap pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sesi 2016/2017, di Dewan Canselor UMS, di sini, kelmarin.

Majlis itu dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Mohd Harun berkata, majlis ikrar pelajar itu bertujuan memberikan panduan dan hala tuju yang jelas agar tidak tersasar daripada matlamat asal sebagai pelajar universiti.

Beliau berkata antara yang terkandung dalam ikrar pelajar ialah ikrar untuk mencapai kecemerlangan kesarjanaan akademik, menjadi warga berdisiplin dan mengutamakan kualiti dalam pelaksanaan aktiviti serta meningkatkan martabat dan prestij UMS.

“Sebagai pelajar UMS, anda perlu berganding bahu dengan warga UMS yang lain untuk sama-sama meningkatkan nama baik universiti ini selain berbakti kepada masyarakat.

“Antara yang boleh dilakukan ialah, menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik, mempamerkan bakat atau kebolehan dalam bidang sukan, seni dan budaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Mohd Harun berkata, kesemua ikrar pelajar itu akan tercapai sekiranya ada disiplin, semangat cintakan ilmu, rajin berusaha, menjunjung nilai dan ajaran agama serta mempunyai semangat berdaya saing.

Pada majlis itu seramai 4,579 pelajar UMS baharu dalam pelbagai bidang menghadiri majlis itu. Daripada jumlah itu, 47 peratus adalah anak jati dari Sabah, 52 peratus pelajar dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Manakala selebihnya iaitu 168 orang adalah pelajar antarabangsa dari beberapa buah negara termasuk China, Brunei, Jerman, Afrika Selatan, Thailand, Indonesia, Tanzania, Sri Lanka, Pakistan, Jordan, Korea dan Vanuatu.

www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/9193.

Ulun Tokou Times

No comments:

Post a Comment