BEAUFORT, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad untuk mempertingkatkan usaha untuk memastikan Sabah maju.
Katanya, beliau mahu memastikan kemajuan Sabah seiring dengan Semenanjung dan disebabkan itu, beliau telah meluluskan banyak projek pembangunan di negeri ini, antaranya Lebuhraya Pan Borneo, Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis dan Projek Amonia dan Urea Sabah (Samur) di Sipitang.
"Saya ingin terus mengangkat kemajuan di Sabah.
Saya telah berikrar untuk memikul amanah sebagai pemimpin untuk melihat negara ini lebih maju," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Sabah Zon 3 di sini hari ini.
Zon 3 meliputi UMNO bahagian Beaufort, Kimanis, Sipitang dan Papar.
Najib juga berkata beliau sentiasa menghargai setiap pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman untuk membincangkan pembangunan negeri ini.
Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO, turut melahirkan kekaguman terhadap anggota UMNO Sabah yang bukan sahaja menjadi anggota parti, tetapi turut menjadikan UMNO sebagai budaya di negeri ini.
Sambil menyatakan UMNO Sabah sebagai tonggak kekuatan parti itu, beliau juga mengumpamakan kesetiaan anggota UMNO di negeri ini dengan perumpamaan "kalau kita belah badan, darah yang mengalir keluar adalah darah jati perjuangan UMNO sebenar".
"Kesetiaan anggota kepada pemimpin dan perjuangan parti merupakan nilai murni yang perlu bagi memperkuatkan lagi UMNO...UMNO Sabah kini merupakan tonggak kepada perjuangan parti walaupun merupakan 'adik bongsu' dalam parti keramat Melayu itu.
"Orang Sabah lebih setia pada perjuangan parti. Saya senang hati datang ke Sabah. Orang Sabah lebih memahami, lebih setia. Saya ucapkan terima kasih dan saya hargai orang Sabah," tambahnya.
Najib berkata kesetiaan merupakan nilai murni yang menjadi kekuatan kepada parti, sekali gus memastikan kejayaaan.
"Setia dalam susah dan senang, suka dan duka. Itulah nilai dalam UMNO yang perlu kita hayati," katanya.
-- BERNAMA
Ulun Tokou Times
No comments:
Post a Comment