Monday, 29 August 2016

44, 558 Calon Menduduki Upsr Di Sabah Mulai 1 Sept Ini

KOTA KINABALU : Seramai 44,558 calon akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 selama lima hari pada 1, 5 hingga 8 Sept ini di 1,086 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh Sabah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah Maimunah Suhaibul berkata daripada jumlah itu, 38,673 adalah calon Sekolah Kebangsaan; 5,543 calon bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); manakala 342 calon lagi untuk sekolah swasta.

Beliau berkata seramai 316 calon di Sabah akan menduduki Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah yang diperkenalkan untuk pelajar-pelajar istimewa dan merupakan sebahagian daripada format baharu UPSR pada tahun ini.

Pihaknya juga telah melantik seramai 5,947 petugas peperiksaan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), katanya dalam sidang media di Wisma Pendidikan Sabah di sini hari ini.

“Jangan ada berlaku sebarang kebocoran (soalan peperiksaan). Semua petugas hendaklah mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan walau sekecil manapun SOP itu. Tindakan tatatertib akan diambil jika petugas peperiksaan tidak mengikuti SOP kerana ini adalah sebahagian daripada tugas rasmi mereka,” katanya.

Maimunah berkata pihaknya juga menyediakan pelan kontingensi dan persediaan jika berlaku sebarang musibah semasa peperiksaan berlangsung, antara lain, menggerakkan peranan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Peperiksaan Awam negeri agar calon boleh terus menduduki peperiksaan itu.

Beliau berharap semua calon UPSR di Sabah bersiap sedia menjawab soalan peperiksaan itu, yang diperkenalkan dalam format baharu pada tahun ini, sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

“Saya ingin mengingatkan kepada ibu bapa agar memastikan anak mereka hadir awal ke pusat peperiksaan dengan kelengkapan peperiksaan secukupnya. Sentiasa memberi semangat kepada mereka dalam menghadapi peperiksaan ini,” katanya.
— BERNAMA
Baca selanjutnya: https://www.sayangsabah.com/44558-calon-menduduki-upsr-di-sabah-mulai-1-sept-ini/

Ulun Tokou Times

No comments:

Post a Comment