KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan terus komited melaksanakan projek serta program berpaksikan rakyat di bandar dan luar bandar dengan pelbagai bentuk pembangunan dan peningkatan kemudahan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antaranya termasuk memasang 97,000 lampu jalan dan 3,000 lampu LED di persimpangan jalan yang melibatkan 7,500 buah kampung seluruh negara.
Katanya sebanyak RM1.2 bilion pula diperuntukkan untuk menaik taraf 616 km jalan kampung dan jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan bandar.
"Bagi menyelenggara jalan negeri, RM4.6 bilion disediakan kepada semua negeri di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)," katanya semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya sebanyak RM350 juta pula diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih 17,000 unit rumah usang dan daif di kampung terpencil dan penempatan Orang Asli yang mana setiap rumah diberi bantuan antara RM1,000 hingga RM15,000.
Perdana menteri berkata bagi meningkatkan penyediaan bekalan air bersih, sebanyak RM732 juta diperuntukkan yang menyasarkan 5,200 buah rumah termasuk menaik taraf sistem bekalan air Felda.
Katanya bagi menaik taraf kapasiti dan menjamin bekalan air di beberapa negeri, kerajaan menyediakan geran RM156 juta dan RM509 juta dalam bentuk pinjaman.
Sebagai tambahan, Najib turut mengumumkan Tabung Bekalan Air yang akan diwujudkan segera dengan peruntukan RM500 juta.
Bagi penyediaan bekalan elektrik luar bandar pula, Najib berkata sebanyak RM460 juta diperuntukkan dengan menyasarkan hampir 10,000 buah rumah.
Kerajaan juga katanya menyediakan RM300 juta di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia untuk membaik pulih kemudahan kawasan flat dan 113 Program Perumahan Rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Katanya sebanyak RM800 juta diperuntukkan untuk Projek Mesra Rakyat yang antaranya untuk menaik taraf dan membina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil dengan keutamaan projek diberi kepada kontraktor kelas G1 dan G2 tempatan.
"Selain itu, 69 projek Rancangan Tebatan Banjir akan diteruskan di seluruh negara dengan peruntukan RM495 juta," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment